Proses penamaan calon berjalan lancar
29 JUL: Tiada sebarang insiden dilaporkan sepanjang proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di 173 Pusat Penamaan Calon (PPC) di enam negeri pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dengan menjelaskan ia bukti kematangan setiap penyokong dan calon yang bertanding kali ini.
“Alhamdulilah proses penamaan calon bagi 173 Pusat Penamaan Calon (PPC) telah berjalan lancar bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri di 245 kerusi DUN.
“Apabila berjalan lancar tiada insiden berlaku, saya rumuskan di sini kematangan calon dan penyokong dalam proses penamaan calon.
“PDRM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong parti-parti yang hadir pada pagi ini bermula 9 pagi tadi,” jelasnya.
Tambah Razarudin, sepanjang PRN di enam negeri sejumlah 17,136 anggota PDRM telah digerakkan bagi memantau tahap keselamatan di setiap DUN yang terlibat.
“Bagi pihak polis kita telah pun menugaskan anggota sejumlah 17,136 anggota warga PDRM yang ditugaskan di ground dibantu 572 anggota Rela.
“Kita juga telah menghantar pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah melancarkan sejumlah 82 pasukan cantas berjumlah 1,459 pegawai dan anggota terlibat bagi memantau proses penamaan calon hari ini.
“Op cantas, keangotaan ini telah bermula pertengahan Mei bagi lima lagi negeri telah bermula 29 Jun lepas dengan tangkapan lebih 400 orang,” katanya lagi.