31 JUL: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengumumkan Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan COVID-19 untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) selewat-lewatnya dua hari sebelum hari pengundian.
Menjelaskan perkara itu, Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya berjumpa dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum menentukan SOP yang lebih spesifik pada hari pengundian, terutama membabitkan pengundi yang dijangkiti COVID-19.
“Buat masa sekarang, SOP kita kekal yang sedia ada tapi untuk hari pengundian nanti, pasukan dari KKM akan berjumpa dengan SPR untuk SOP yang lebih spesifik terutama mereka yang didapati positif COVID-19.
“Jika seseorang pengundi itu dalam fasa kuarantin atau baru dikesan positif beberapa hari sebelum hari pengundian, kita akan ada SOP yang tertentu.
“Saya harap perkara ini akan diselesaikan segera dua atau tiga hari, sebelum hari pengundian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
PRN 2023 ini membabitkan 36 DUN di Kedah; Kelantan (45); Terengganu (32); Pulau Pinang (40); Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).