1 OGOS: Kerajaan akan menyelaraskan semula dasar cukai negara dan akan mendapatkan input serta cadangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tujuan tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyelaraskan beberapa dasar pencukaian baharu itu tanpa melanggar prinsip sehingga membebankan pembayar cukai.
Jelas beliau, ini kerana kerajaan amat menitikberatkan kesejahteraan rakyat kerana hasrat kerajaan adalah menggalakkan pembayar cukai lebih produktif dan menyumbang kepada negara.
“Prinsip asas pelaksanaan dasar percukaian negara ialah mengenakan cukai apabila ia sangat perlu dan tidak menjadi beban kepada pembayar cukai.
Bagi mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi untuk manfaat kumpulan rentan, sistem percukaian dan agensi yang mengendalikannya mesti cekap, bersih dan sangat berkesan,” kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Cukai Kebangsaan 2023 anjuran LHDN dan Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM), hari ini.
Tambah Anwar, beliau akan berhubung dengan LHDN bagi mendapatkan input dan cadangan mereka dalam melaksanakan beberapa pelarasan dasar atau memperkenalkan langkah cukai baharu.
Tambah beliau, cukai yang diperolehi akan digunakan atau dibelanja secara bijak
Sementara itu, Anwar juga merupakan Menteri Kewangan mengarahkan kesemua menteri kabinet ditugaskan secara harian untuk mengumumkan dasar dan program yang dirancang di bawah konsep Ekonomi MADANI.
Beliau berkata, ini kerana kerangka ekonomi itu akan dijadikan asas bagi beberapa dasar spesifik lain yang dijadualkan untuk diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.
“Sebelum ini, Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) telah mengumumkan pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara selaras Ekonomi MADANI, dan dalam beberapa minggu akan datang, kerajaan akan mengumumkan Pelan Induk Industri.
“Menyusul selepas itu, Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan hanya pada Oktober, akan ada (pengumuman) mengenai belanjawan kedua MADANI,”ujarnya.
Inisiatif Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat diumumkan Anwar pada 27 Julai lepas, bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia dan dijangka membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.
Anwar menjelaskan, kerangka ekonomi itu adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
Inisiatif Ekonomi MADANI menetapkan tujuh penanda aras sebagai sasaran jangka sederhana yang mahu dicapai dalam tempoh 10 tahun.