2 OGOS: Barisan Nasional (BN) sentiasa mengekalkan keharmonian antara parti komponen dan tidak pernah bermusuh, tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perancangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan semua pemimpin MIC negeri untuk menjelaskan isu ‘salah faham’ mereka dengan UMNO.
“Ini bukan kali pertama beliau (Anwar) bertemu dengan kepimpinan MIC.
“Tidak timbul langsung ketidakharmonian malah kami mengadakan mesyuarat war room wakil MCA dan MIC ada. Mereka telah menggerakkan seluruh jentera di keenam-enam negeri dan jentera MCA dan MIC juga akan membantu calon bagi pilihan raya ini,” katanya semasa sesi sembang santai bersama calon BN bagi DUN Bagan Pinang dan DUN Linggi semalam.
Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Turut sama calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli dan calon DUN Bagan Pinang, Mohd Najib Mohd Isa.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa kesyukuran kerana Jentera Pakatan Harapan (PH) dan BN menunjukkan kesefahaman dan keserasian yang baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kali ini.
“Takdir ALLAH yang mempertautkan hubungan BN dan PH sehingga membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Kita melihat secara holistik dan berterima kasih, kerana terdapat kesefahaman dan keserasian di antara BN dan PH, jentera pun saya sebutkan mendukung calon-calon yang dipilih tanpa mengira daripada parti mana.
“Biarpun di peringkat awal mungkin terdapat kekeliruan dari segi lambang, tetapi dalam tempoh kempen ini, kita memberikan pencerahan terhadap isu itu, penting kedua-dua parti gabungan atas semangat Kerajaan Perpaduan, menggerakkan kempen dan menolak propaganda dibuat seteru kita di sebelah sana,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Kedah, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, dan Pulau Pinang serta Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Kuala Terengganu dilaksanakan serentak, dengan hari pengundian pada 12 Ogos manakala pengundian awal pada 8 Ogos.