3 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) gemar melawan Raja-raja Melayu.
Ia dilihat berdasarkan kenyataan beberapa tokoh, dan yang terbaharu, Pengerusi PN, Tan sri Muhyiddin Yassin menyentuh isu kalimah Allah meskipun perkara itu telah ditegah oleh Raja-raja Melayu.
Bahkan kata Anwar, Sultan Selangor yang mempengerusikan Majlis Kemajuan Islam (MKI) telah bertitah supaya isu kalimah Allah tidak dijadikan modal politik.
“Apa yang tukarnya, apa perubahan isu Allah dua tahun lepas dan sekarang, sama. Orang Melayu Islam boleh guna (kalimah) Allah orang bukan Islam tak boleh. Jadi apa salahnya, sebab kita tak saman di mahkamah.
“Dua hari sebelum berangkat ke London, Tuanku Sultan Selangor sebut lagi pada saya kita ada mesyuarat MKI hujung bulan Ogos kita akan perkemaskan lagi isu kalimah Allah dan pesan baginda jangan jadikan ini isu politik.
“Raja-raja Melayu pesan jangan jadikan kalimah Allah isu politik, kerana Raja-raja akan perkemaskan. Tapi apa Muhyiddin kata, mereka bangkitkan lagi isu kalimah Allah.
“Jadi mereka ini soal lawan raja terus terang, sebelum Sultan Selangor murka sebab seorang menteri besar singgung raja-raja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Taman Tuanku Jaafar, di Seremban, malam ini.
Hadir sama Menteri Besar sementara Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Terdahulu, media melaporkan Muhyiddin mempersoal kewajaran kerajaan tidak meneruskan permohonan semakan kehakiman membabitkan kes kalimah Allah dalam kes Jill Ireland.
Semasa ceramah di Kapar, Selangor, Ahad lalu, Muhyiddin mendakwa keputusan kerajaan menggugurkan rayuan kes Ireland pada Mei lalu membuktikan bahawa pentadbiran Anwar bersetuju dengan keputusan mahkamah bahawa penganut Kristian boleh menggunakan kalimah Allah.
“Anwar Ibrahim jadi perdana menteri buat keputusan supaya tidak rayu (kes itu), beza tak.
“Tapi Anwar sebagai perdana menteri, dia buat keputusan tak rayu, bila kata tidak rayu, maknanya terimalah keputusan mahkamah setakat itu, yang membolehkan orang-orang Kristian guna kalimah Allah,” kata Muhyiddin.