3 OGOS: Pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khas untuk wanita @JELITA merupakan inisiatif pihak kerajaan bagi memperkasakan ekonomi wanita melalui pengembangan bakat, kemahiran, ketrampilan dan pengetahuan.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Program Jelita ini akan dilaksanakan selama 3 tahun dengan menyediakan pengambilan seramai 15,00 orang wanita.
Menurut beliau, program JELITA diharapkan akan membuka jalan bagi wanita di seluruh negara untuk menggali potensi mereka dalam bidang teknikal serta mencipta peluang kejayaan dalam sektor pekerjaan berkembang pesat.
“Program JELITA ini merupakan titik permulaan bagi perjalanan penuh cabaran tetapi penuh makna untuk memperkasakan wanita melalui pendidikan TVET.
“10 bidang kemahiran turut ditawarkan dengan kerjasama 74 rakan strategik bagi memastikanprogram dan pensijilan yang ditawarkan selaras dengan keperluan industri.
“Ini merupakan satu usaha bagi meningkatkan martabat wanita Malaysia melalui latihan vokasional dan teknikal dengan penyediaan pakej pengajian ekslusif hasil kerjasama dengan rakan-rakan industri yang sedia menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan mengikut keperluan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis pelancaran JELITA di Dewan Merdeka, World Trade Center Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Noraini yang juga merupakan Ketua Wanita Umno menyarankan agar Program TVET Khas Wanita diwujudkan dalam membantu golongan wanita di negara ini untuk meningkatkan kemahiran mereka.
Jelas Noraini, menerusi program itu, negara boleh meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 10 peratus atas sumbangan wanita menjelang 2023.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merasmikan program JELITA hari ni pernah mengumumkan ketika Perhimpunan Agung UMNO 2023 lalu kerajaan bersetuju mewujudkan program TVET khusus untuk wanita dengan pengambilan seramai 15,000 peserta. Oleh NURUL AISYAH BADRUL