3 OGOS: Sokongan antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kini di tahap terbaik.
Menurut Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, kerjasama yang semakin positif itu melibatkan negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Katanya, ia adalah berdasarkan maklumat daripada pelbagai sumber serta laporan dari lapangan yang diterimanya, sekali gus menafikan dakwaan bahawa tiga negeri yang ditadbir PH itu akan tumbang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Saya berani katakan kejatuhan Kerajaan Perpaduan selepas PRN seperti yang digula-gulakan pimpinan PN kepada penyokong mereka tidak akan berlaku kerana laporan yang kita terima adalah sebaliknya,” katanya dalam ceramah Jelajah Perpaduan sempena PRN Selangor di Sungai Kandis, malam tadi.beliau berkata demikian bagi mengulas ceramah pemimpin Perikatan Nasional (PN) bahawa kerajaan PH-BN akan tumbang sekiranya gabungan PAS dan BERSATU berjaya merampas dua negeri di bawah penguasaan PH iaitu Selangor dan Negeri Sembilan pada PRN kali ini.
Mengulas lanjut, Rafizi turut membayangkan kerjasama PAS dan BERSATU dalam PN tidak akan bertahan berdasarkan pengalaman PKR pernah bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan.
PRN Selangor yang akan berlangsung serentak dengan Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini bakal menyaksikan seramai 3,747,057 pengundi berdaftar layak mengundi bagi menentukan wakil rakyat di 56 kerusi yang dipertandingkan.