4 OGOS: Terdapat satu kes berprofil tinggi membabitkan pemimpin politik yang dikenal pasti menyentuh isu kaum, agama dan institusi raja (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Memaklumkan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau dikenal pasti menyentuh kes mahkamah membabitkan penggunaan kalimah Allah.
Katanya, membuat kenyataan berkenaan di Kapar, Klang biarpun Sultan Selangor sebelum ini, sudah menitahkan supaya isu terbabit tidak dibahaskan sehingga ia dibincangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR).
Bagaimanapun, katanya Muhyiddin dilihat ingkar kepada titah Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
“Berulang kali peringatan diberikan sebelum pilihan raya, sama ada daripada institusi diraja atau Ketua Polis Negara agar mana-mana pihak tidak terjerumus dalam perkara membabitkan 3R kerana kesan buruknya terlalu besar kepada rakyat.
“Rakyat boleh nilai sendiri. Kalaulah nasihat baginda pun tak boleh nak patuh, nasihat siapa lagi (mahu dipatuhi)? Masyarakat Melayu ada adab dan kesopanan, terutama membabitkan institusi diraja,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor bersetuju dengan cadangan Sultan Selangor untuk membawa isu kalimah Allah kepada MKI pada Ogos ini, sebelum diangkat ke MRR, Oktober depan.
Sultan Selangor percaya pandangan MKI penting untuk dimajukan kepada MRR dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam di Malaysia.
Dalam pada itu, Saifuddin menasihati pemimpin PN supaya tidak ‘play victim’, jika sebarang tindakan diambil ke atas mereka kerana ingkar dengan terus menyentuh isu 3R sepanjang berkempen pada PRN di enam negeri.
“Kalau ia dilakukan juga dan suatu masa nanti pihak polis mengambil tindakan, reaksi mereka akan ‘play victim’ seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang secara terang mengungkap perkataan menghina Sultan Selangor.
“Beliau mendakwa menjadi mangsa apabila tindakan diambil ke atasnya dan menyatakan Malaysia sudah tiada kebebasan bersuara.
“Justeru, kita sekali lagi mengulangi (nasihat) supaya tidak perlu menyentuh perkara yang sudah diberi peringatan berulang kali, sama ada oleh pihak berkuasa mahupun institusi diraja,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) mengakui kesal dengan perbuatan khianat dengan memusnahkan bahan kempen sepanjang PRN di enam negeri, selain menyifatkan ia tidak seharusnya berlaku.
“Ini bukan politik era 1960-an atau 1970-an. Bila ada perbuatan sedemikian, ia sangat dikesali dan sudah tentu pihak berkuasa akan mengambil tindakan.
“Saya ingin menasihati supaya pelaku tidak mengulangi tindakan sedemikian, ia tak bagus untuk budaya politik baharu dalam negara,” katanya yang juga Setiausaha Agung PKR.