4 OGOS: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tujuan beliau dan ahli perniagaan, Mohamad Riza Chalid menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah hanya kunjungan hormat kepada baginda.
Menurut beliau, pertemuan tersebut tidak sama sekali membincangkan urusan atau permohonan yang dikemukakan kepada baginda berhubung perlombongan unsur nadir bumi (REE) oleh ahli perniagaan berkenaan seperti yang didakwa.
“Dia (Riza) tidak bangkitkan isu REE, jika dia hendak buat permohonan pun bukanlah menerusi Sultan Kedah.
“Saya dan rakan saya dipanggil menghadap Sultan Kedah bagi membincangkan hal yang lain termasuk menziarahi makam, tiada kaitan dengan perniagaan dalam bidang itu (REE), saya tidak mahu kaitkan lebih daripada itu, hanya kunjungan hormat saya dengan Sultan Kedah,” jelas Anwar.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkormesialan Malaysia, hari ini.
Justeru, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berharap agar isu tersebut tidak lagi digembar-gemburkan.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa Perdana Menteri membawa hartawan Indonesia itu ke Kedah untuk memohon melombong REE yang mana isu itu menimbulkan kontroversi dalam tempoh kempen PRN.
Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa kedua-dua mereka melawat Kedah sebelum Parlimen dibubarkan tahun lalu.