4 OGOS : + Perikatan Nasional (PN) didakwa semberono membuat kenyataan kononnya perubahan kepada kerajaan negeri mampu mengubah kedudukan kerajaan Persekutuan.
Justeru, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menggesa PN supaya menghentikan politik tidak matang dan tidak mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, kenyataan PN itu jelas menunjukkan pihak lawan itu sudah ketandusan modal untuk berkempen.
“Jadi saya berharap rakyat tidak terkeliru dengan kenyataan yang dibawa oleh PN bahawa melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) ini boleh mengubah kedudukan kerajaan Persekutuan.
“Mereka selalu memainkan provokasi dengan membentuk satu bayang-bayang untuk menakutkan pengundi khususnya pengundi-pengundi Melayu.
“Tapi saya terkejut dengan dakwaan kononnya PN yang mengatakan pilih Barisan Nasional (BN) bermakna pilih DAP, yang jelas tiada seorang calon DAP pun yang bertanding di Terengganu. Apa punya logik itu? Jadi bayang-bayang itu hanya untuk menakut-nakutkan rakyat,” katanya.