4 OGOS : Malaysia akan terus mengemukakan cadangan baharu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sebaik sahaja memperoleh keputusan di peringkat kerajaan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cadangan tersebut akan dibawa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
“Itu belum… baru peringkat kita, sebaik ada keputusan awal baharulah akan diangkat oleh menteri, Anthony Loke kepada perhatian Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia, Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, kerajaan Singapura belum menerima sebarang cadangan baharu daripada Malaysia berhubung projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.
Menurut Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura Chee Hong Tat, negara itu sedia berbincang dengan Malaysia mengenai pelaksanaan semula projek berkenaan.