4 OGOS : Bermula esok, hampir 22,000 peluang pekerjaan dan internship (latihan industri) dibuka kepada belia dan pencari kerja.
Ia ditawarkan pada MITI Day 2023 yang dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dengan bertemakan Perkasa Industri, Maju Ekonomi acara itu dianjurkan, MITI berkata, sebanyak 20 syarikat bakal menawarkan hampir 2,000 peluang pekerjaan di sektor pengurusan, elektrik dan elektronik, peranti perubatan, automotif, aeroangkasa dan farmaseutikal.
Selain itu, di bawah Program Academy in Industry (AiI) sebanyak 20,000 peluang latihan industri produktiviti tinggi ditawarkan kepada belia Selangor oleh 11 syarikat semikonduktor, automotif, aerospace dan sains hayat.
Selain peluang pekerjaan dan latihan internship, pelbagai syarikat juga menawarkan Industry Career Talk. Antaranya, Bual Kerjaya: Maju Kerjaya Industri Perkasa dan First Impressions Matter: The Art of Grooming for interviews and Beyond.
MITI Day Selangor 2023 yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam oleh MITI dengan sokongan 14 agensi di bawahnya menyasarkan seramai 13,000 pengunjung dari sekitar Shah Alam dan Lembah Kelang. Program ini mendapat sokongan padu daripada rakan strategik iaitu Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam.
MITI Day yang telah dianjurkan sejak 2016 ini bertujuan mendekatkan rakyat kepada MITI dan bagi meningkatkan perhatian pemain industri tempatan atau PMKS terhadap peluang-peluang perniagaan melalui sektor pelaburan, perindustrian dan perdagangan di Malaysia.
Komuniti perniagaan atau bakal usahawan boleh mendapat pelbagai manfaat dari taklimat pocket talks mengenai keusahawanan, pembiayaan perniagaan dan fasilitasi eksport bagi menerokai pasaran tempatan dan antarabangsa seperti Bicara Saham: Ada Apa Dengan Saham, Terokai Pasaran Antarabangsa Bersama Matrade, Financing for SME, Mid-Tier & Large Businesses, Jom Buat Produk Sendiri –Kosmetik & Detergent, Go Export Financing Programme dan Peluang Dalam Industri Halal.
MITI Day Selangor 2023 ini akan dirasmikan oleh menteri besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari.
MITI Day Selangor juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan harga kilang, Food Truck, Bintang MITI DAY,pameran kenderaan elektrik (EV), gerai-gerai Usahawan PKS dan selebriti tempatan.