5 OGOS : Perbincangan mengenai gaji graduan turut akan menjadi fokus pada minggu hadapan dalam mesyuarat pertama berhubung keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah menetapkan bahawa satu jawatankuasa akan bermesyuarat bagi membincangkan penyelarasan gaji minggu depan.
Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Semua perkara ini kita akan ambil kira. Umumnya, kadar upah dan gaji penjawat awam rendah, termasuk polis dan tentera, serta tentera yang tidak berpencen. Insya-Allah dengan keupayaan ekonomi, kita akan naikkan secara berperingkat.
“Secara tradisinya, jawatankuasa ini sepatutnya bermesyuarat 10 tahun sekali, tapi sekarang dah 12 tahun jawatankuasa ini tidak bermesyuarat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas ditanya pandangan beliau berkenaan gaji graduan yang kini dianggap merosot ke paras gaji minimum.
Beliau berkata demikian ditemui selepas memberi ucapan perasmian di Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 hari ini.