5 OGOS : Lebih banyak peluang pekerjaan boleh diwujudkan di Kedah sekiranya kerajaan negeri itu selari dengan Kerajaan Persekutuan.
Menjelaskan hal itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, banyak pelaburan dari luar masuk akan masuk ke negara ini, sekali gus membuka banyak peluang pekerjaan.
Malah, Ahmad zahid turut mempersoal kembali andaian bahawa Selangor maju kerana berdekatan dengan Kuala Lumpur, namun beliau mempersoal mengapa Kedah tidak maju walaupun terletak berhampiran Pulau Pinang.
“Sekarang mereka menampung kira-kira 40,000 pekerjaan tetapi ingat, Taman Teknologi Tinggi Kulim itu di bawah Kerajaan Persekutuan, dalam keadaan itupun Kerajaan Persekutuan terus membantu pelabur untuk melabur di Taman Teknologi Tinggi Kulim.
“Jika kerajaan di Kedah selari, seia, sekata dengan Kerajaan Persekutuan, insya-Allah kita akan bantu rakyat negeri Kedah untuk mendapat peluang pekerjaan yang lebih besar lagi dengan usaha Kerajaan Persekutuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikiam ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya MYFutureJobs bersama Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA) Malaysia di Kepala Batas, hari ini.