6 OGOS: Malaysia dan Turkiye bersedia mengeratkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang ke tahap lebih tinggi terutamanya hubungan bilateral dan antarabangsa antara kedua-dua negara.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Republik Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menerusi perbualan telefon, semalam.
Anwar berkata, Presiden Erdogan memberikan komitmen jelas bahawa beliau akan berkunjung ke Malaysia dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan lagi hubungan kedua-dua negara.
“Saya dan Presiden Erdogan turut bersetuju untuk bersemuka semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bulan depan. Kami berdua turut berbincang terkait kerjasama pelaburan antara Malaysia-Turkiye.
“Saya turut mengulangi komitmen pelaburan Malaysia Airport Holding Bhd sebanyak £200 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGIA),untuk itu, Batik Air telah terpilih sebagai operator untuk laluan KUL-ISG. Dijangka penerbangan Batik Air akan bermula pada Oktober 2023,” ujarnya.
Menerusi perbualan maya itu, Anwar juga turut membincangkan tentang kerjasama pertahanan di mana Agensi Industri Pertahanan Turkiye (SSB) telah menghantar delegasi yang besar untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) baru-baru ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berasa kagum dengan kemajuan teknologi pertahanan Turkiye dan yakin Malaysia bakal mendapat manfaat besar hasil kerjasama erat antara Malaysia – Turkiye dan bersetuju untuk memuktamadkan Memorandum Persefahaman dalam kerjasama pertahanan pada masa yang terdekat.
Di samping itu, Malaysia dan Turkiye bakal menjalin kerjasama untuk membentuk gerakan bagi menangani isu Islamofobia di peringkat antarabangsa.
Jelas Anwar, Erdogan meminta beliau untuk bersama pemimpin berkenaan pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu September ini bagi mengadakan perjumpaan dan perbincangan pelbagai isu termasuk Islamofobia.
“Saya juga menyatakan pendirian tegas Kerajaan Perpaduan yang menolak sebarang unsur keganasan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam keganasan di negara ini. Saya mengecam sekerasnya tindakan tersebut yang berlindung di sebalik hak kebebasan bersuara yang diagungkan oleh Barat.
“Lantaran itu Malaysia menzahirkan komitmen untuk menyumbang satu juta naskhah Al-Quran di seluruh dunia termasuk 15,000 naskhah dengan terjemahan dalam bahasa Sweden sebagai salah satu usaha untuk menangani kedangkalan pemahaman Barat terhadap Islam,” katanya.