7 OGOS : Kerajaan akan mencadangkan Kelapa sebagai komoditi di bawah Lembaga Koko Malaysia (LKM).
Memaklumkan perkara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia antara yang dicadangkan oleh para penanam koko di Selangor yang turut mengusahakan kelapa, sekali gu dapat membantu pekebun tanaman tersebut.
“Insya-Allah saya akan bawa isu ini susulan ketika sesi soal jawab tadi, mereka minta agar kelapa dimasukkan sebagai komoditi dan dijaga terus LKM.
“Saya akan cuba mengemukakan syor berkenaan kepada Kabinet untuk diperhalusi sama ada sesuai untuk pelaksanaan kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung Malaysia 2023, di Tanjung Sepat, semalam.
Semasa sesi soal jawab, seorang pengusaha koko yang menanam kelapa berkata, ramai dalam kalangan mereka mengalami kesukaran kerana kelapa di bawah selia Jabatan Pertanian.
Menjawab permintaan pekebun tersebut, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kelapa setakat ini belum sesuai dimasukkan di bawah komoditi negara kerana produk itu tidak dieksport tetapi diimport.
Beliau membayangkan usaha kemasukan kelapa yang dikawal selia LKM jika menjadi realiti perlu menyaksikan peningkatan pengeluaran komoditi berkenaan di pasaran domestik.
Ketika ini, Malaysia menghasilkan pengeluaran kelapa mencecah 536 juta biji setahun di kawasan berkeluasan 84,942 hektar meliputi varieti pandan, matag, yellow dan red dwarf.