7 OGOS : Rakyat Selangor akan rugi jika tidak lagi berada di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Ini kerana menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, negeri berkenaan menjadi penyumbang antara 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun lepas.
Malah, Selangor juga dilihat menjadi negeri yang mempunyai pelaburan luar yang besar, sekali gus muncul sebagai negeri paling utama membantu rakyat Malaysia mengubah kehidupan, dengan menawarkan peluang pekerjaan tinggi.
“Maka, rugilah jika Selangor tidak dapat kita kekalkan sebagai sebuah negeri di bawah Kerajaan Perpaduan yang berteraskan Malaysia MADANI,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Doa Selamat sempena Bulan Kemerdekaan dan Kesejahteraan MADANI, di Kuala Selangor, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, penyatuan gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan di Selangor, dapat dilihat menerusi keterbukaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang memberi ruang kepada BN, bertanding lebih banyak kerusi pada PRN ini.
“Sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, BN cuma tinggal lima kerusi tetapi baiknya hati (pimpinan) PH ini, mereka bagi kita bertanding 12 kerusi dan ini bukti keikhlasan PH berkawan dengan kita,” katanya.
Sebelum DUN Selangor dibubarkan, PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi, serta seorang wakil rakyat Bebas.
Satu lagi kerusi, DUN Batang Kali, diisytiharkan kosong setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.