9 OGOS: Kerajaan bersetuju tidak meneruskan cadangan Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman kerana pembinaannya dikhuatiri menjejaskan ekosistem di pulau itu.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Ahmad berkata, keputusan tersebut susulan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal (EIA (EIATRC) yang telah diadakan hari ini.
“Keputusan kerajaan untuk tidak meneruskan cadangan pembangunan lapangan terbang baharu yang melibatkan tambakan di Pulau Tioman ini adalah selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan dan penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara optimum.
“Kementerian mengambil maklum kebimbangan yang disuarakan kerana penebusan kawasan perlindungan marin akan mengakibatkan kemusnahan terumbu karang yang merupakan habit penting pelbagai spesies hidupan laut dan juga merupakan tarikan utama ke pulau tioman,” katanya dalam satu kenyataan media.
Selain itu, cadangan pembinaan lapangan terbang baharu tersebut dibatalkan kerana ianya turut berpotensi untuk memberikan impak negatif yang sangat ketara kepada kualiti alam sekitar khususnya kepada penerima sensitive (sensitive receptor) di sekitar Pulau Tioman termasuklah ekologi marin sekiranya diteruskan.
“Pembinaan lapangan terbang baharu tersebut turut dikhuatiri akan merosakkan tarikan semulajadi Pulau Tioman yang membawa kepada pelancongan yang tidak mapan.
“Pulau Tioman juga turut diwartakan sebagai Taman Laut yang mempunyai hutan hujan masih asli, sekali gus mempunyai habitat pelbagai spesies hidupan liar dengan sebahagian daripada pulau itu ditetapkan sebagai rizab hidupan liar yang perlu dilindungi.
Terdahulu, media melaporkan Pembangunan lapangan terbang di Pulau Tioman berisiko menyebakan kerosakan fizikal dan kehilangan habitat kepada ratusan hidupan marin di Kawasan itu.
Laporan EIA mengenalpasti 120 spesies batu karang keras dan 12 spesies batu karang lembut di Kawasan itu akan terancam.