10 OGOS: Kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah akan dihentikan sekiranya gabungan Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PH-BN) berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, janji tersebut ditawarkan oleh gabungan itu bagi memastikan REE di negeri berkenaan terjamin selamat dan tidak dicuri lagi.
“Surat 15 Mei (kebenaran masuk hutan simpan) dan surat 3 Mei (surat kebenaran persampelan di Kampung Bendang Man) akan dibatalkan serta merta.
“Kami akan segera hentikan perkara ini kerana ini pintu kepada kecurian. Hentikan kecurian dan mulakan siasatan terhadap REE,” katanya dalam sidang media grand finale di ibu pejabat PKR hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin mengakui REE merupakan sumber pendapatan baharu kepada Kedah dan kerajaan negeri perlu bekerjasama rapat dengan kerajaan pusat di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi memulakan rundingan.
“Mengikut dasar semasa tidak akan diluluskan juga sekiranya Kerajaan Perpaduan mengambi alih di mana kerajaan negeri dan kerajaan pusat sama, kita akan memulakan perundingan.
“Ini untuk melihat dasar semasa bagi melihat ruang fleksibiliti dilakukan atas rasional hasil bumi Kedah wajar diusahakan secara mengikut undang-undang dan peratusan. Ini akan kira rundingkan,” ujarnya
Sehubungan itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pihaknya akan turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memulakan siasatan segera mengenai kecurian REE di Kedah.
Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kes kecurian REE itu tidak akan terhenti walau apa sekalipun keputusan PRN pada Sabtu ini.
“Siasatan ke atas kes ini oleh agensi-agensi kerajaan atau negeri saya yakin akan diteruskan kerana dalam tempoh 12 hari ini, tidak mungkin siasatan sepenuhnya dapat dijalankan.
“Jadi, ini bukan isu pilihan raya tetapi ini isu tidak kompeten dan lemahnya tatakelola Menteri Besar dalam menguruskan kerajaan negeri,” katanya.