10 OGOS : Gaji lebih tinggi dijangka akan dinikmati rakyat Malaysia pada tahun hadapan melalui pengumuman Belanjawan 2024.
Belanjawan berkenaan akan dibentangkan pada bulan Oktober ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perkara tersebut akan dilaksanakan berdasarkan peruntukan kerajaan melalui hala tuju penggajian rakyat.
“Hala tuju penggajian sudah ada, rakyat akan mula rasa gaji lebih tinggi tahun hadapan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan peruntukan kerajaan untuk menaikkan gaji rakyat, melalui Belanjawan dibentangkan Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia bersama Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman yang disiarkan secara langsung di RTM, semalam.
Pada masa sama, Rafizi berkata, walaupun ekonomi negara belum pulih, namun kerajaan berada pada landasan yang baik dalam aspek penyelesaiannya.
Katanya, usaha Kerajaan Perpaduan setakat ini sudah menunjukkan hasil awalnya termasuk mengatasi masalah kenaikan harga barangan yang berterusan, selain inflasi bulanan berjaya diturunkan pada paras terendah dalam tempoh 12 bulan.
“Minat pelabur juga semakin pulih bukan saja (pelabur) besar, namun juga pelabur dana pendek yang kembali ke bursa saham pada kadar lebih tinggi berbanding negara serantau ASEAN dalam tempoh dua bulan.
“Kalau kita kekal berada pada landasan ini, Malaysia mampu sertai senarai negara berpendapatan tinggi atau negara maju antara tahun 2026 hingga 2028,” katanya.
Sementara itu, Rafizi berkata, tidak timbul Anwar mengawal kedua-dua perbelanjaan iaitu membabitkan perbelanjaan mengurus dan pembangunan walaupun Perdana Menteri itu memegang jawatan Menteri Kewangan.
Ini kerana, katanya, Perdana Menteri buat pertama kalinya melepaskan kuasa perbelanjaan pembangunan kepada Kementerian Ekonomi, di bawahnya.
“Perbelanjaan negara ada dua bahagian iaitu perbelanjaan mengurus dan pembangunan, perbelanjaan mengurus adalah pembayaran gaji, hutang dan sebagainya yang tidak sangat membabitkan perbelanjaan besar. Itu di bawah Kementerian Kewangan.
“Perbelanjaan pembangunan pula membabitkan projek membina jalan, membuat bangunan di bawah Kementerian Ekonomi, Perdana Menteri daripada kuasa berbelanja adalah lebih rendah daripada saya.
“Tidak pernah ada Perdana Menteri melepaskan kuasa perbelanjaan pembangunan, hanya Anwar lepaskan kepada saya,” katanya.