12 OGOS : Pemimpin-pemimpin dari Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN) bakal menentukan Menteri Besar Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan, beliau dan barisan pemimpin PH-BN akan berbincang dan menentukan siapa calon yang sesuai untuk dicadangkan selepas PRN ini.
“Kami hanya mencalonkan mereka yang kami rasa sesuai untuk memimpin negeri ini dan keputusan tersebut akan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Besar (Tuanku Muhriz Tuanku Munawir),”
“Pemilihan Menteri Besar adalah hak mereka (pemimpin PH-BN), jadi mereka akan memutuskan siapa sahaja yang mereka anggap sesuai,” katanya kepada media selepas tiba di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau turut menjangkakan kemenangan bakal berpihak kepada PH-BN di Negeri Sembilan pada PRN kali ini.
Jelas beliau, perkara tersebut mudah dijangka kerana PH-BN berada dalam majoriti yang selesa untuk menduduki Negeri Sembilan kali ini.
“Kalau betul, Alhamdulillah seperti yang dijangkakan Negeri Sembilan boleh mengekalkan Kerajaan Perpaduan.
“Setakat ini, Kerajaan Perpaduan mendahului di Negeri Sembilan dengan majoriti selesa, hal ini sudah kita jangkakan,” katanya.
DUN Rantau menyaksikan pertembungan satu lawan satu dengan Mohamad disaingi Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan.
Mohamad merupakan penyandang DUN Rantau sejak 2004 dan menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari tahun 2004 sehingga 2018.