‘Situasi terkawal di pusat undi 6 negeri’
12 OGOS : Situasi dilaporkan terkawal di semua pusat pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini selain satu insiden kecil berhubung kekeliruan pakaian oleh pengundi di pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati.
Katanya, pengundi berkenaan memakai baju T yang mempunyai logo kerajaan Selangor ketika hadir untuk mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melawati.
“Ia sudah diselesaikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Setakat ini situasi di seluruh negara terutama di enam negeri yang ada PRN terkawal,” katanya selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, Hulu Kelang, hari ini.
Ayob turut mengesahkan insiden di hadapan sebuah Balai Polis di Kelantan, di mana seorang penyokong sebuah parti politik ditarik dan dipukul anggota polis.
“Pada masa ini siasatan kes berkenaan sedang dijalankan dan Polis Kelantan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, seramai lebih 35,000 pegawai dan anggota polis mengawasi perjalanan proses PRN, termasuk 5,526 di Selangor.
“Kita menjangkakan lebih ramai akan keluar untuk mengundi selepas tengah hari ini terutama golongan muda. Saya minta semua pihak yang berkenaan untuk menunaikan tanggungjawab keluar mengundi,” katanya.