13 OGOS : Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN),Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Pertahanan menepati ramalan apabila berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dengan majoriti 10,280 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan
Berdasarkan data keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Timbalan Presiden UMNO itu memperoleh 16,957 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas, Rembau Rozmal Malakan yang mendapat 6,677 undi.
Ahli Parlimen Rembau itu yang pernah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan dari tahun 2004 hingga 2018 merupakan penyandang kerusi DUN Rantau sejak 2004.
Sementara itu, Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam menang dengan majoriti 2,321.
Reezal Merican yang mewakili BN mendapat 10,453 undi manakala lawannya dari Perikatan Nasional (PN) Khaliq Mehtab Mohd Ishaq pula memperoleh 8,132 undi.
Seterusnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua menewaskan dua lawannya daripada Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.
Amirudin berjaya mendapat majoriti 5,185 undi dengan jumlah 19,678 undi meninggalkan Hanif Jamaluddin (PN) yang meraih 14,493 undi.
Manakala calon Bebas, Suman Gopal hilang deposit dengan hanya meraih 430 undi.
DUN Sungai Tua menyaksikan 49,055 pengundi berdaftar pada PRN Selangor kali ini.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berjaya mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) Rosmadi Arif sekali gus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah pada PRN Negeri Sembilan, hari ini.
Berdasarkan data keputusan SPR, Menteri Pengangkutan itu menang dengan majoriti 2,200 undi selepas memperoleh 5,888 undi, sementara Rosmadi mendapat 3,688 undi.