14 OGOS : Ahli UMNO dinasihatkan agar tidak membuat sebarang kontroversi dan kekal tenang susulan prestasi UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, ahli prti berkenaan harus bertindak rasional supaya tidak termasuk dalam perangkap Perikatan Nasional (PN).
“Apa-apa pun saya nasihatkan kepada semua ahli UMNO untuk terus bersabar dan kekal tenang.
“Jangan sampai kita secara tidak sedar telah masuk perangkap PN untuk menjadi buah catur kepada mereka,” katanya menerusi laman sosial Facebook, hari ini.
Dalam hal ini, jelasnya lagi beberapa faktor perlu diambil kita untuk memulihkan parti sekali gus mendapat kembali sokongan rakyat terhadap UMNO.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan prestasi BN di Negeri Sembilan sebagai membanggakan selepas mencatat pencapaian baik sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon BN yang menang terutamanya kepada calon-calon BN di Negeri Sembilan.
“Bagi saya pencapaian yang boleh dibanggakan dan boleh dijadikan rujukan kerana BN Negeri Sembilan memberi prestasi baik sejak PRU15 yang lepas,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada semua Jentera BN terutama Jentera Wanita BN Pandan yang memberi komitmen penuh.
“InsyaAllah. Saya akan terus memberi cadangan dan pandangan supaya BN kembali mendapat mandat rakyat,” tambahnya.