14 OGOS : Kekalahan tipis 58 undi ketika bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia membuatkan Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Megat Zulkarnain Omardin mempertimbangkan untuk mengemukakan petisyen bantahan terhadap keputusan pilihan raya negeri (PRN).
Pengerusi UMNO Selangor itu berkata, proses ke arah itu sedang dilaksanakan oleh pasukan guaman yang dilantik.
“Saya ada menerima pelbagai permintaan agar membuat petisyen di atas keputusan yang diumumkan.
“Pasukan peguam saya sedang meneliti dan sedang mengumpul bukti untuk kemukakan petisyen bantahan ke mahkamah agar dapat diberikan pertimbangan sewajarnya.
“Insya-ALLAH kalau diberikan keizinan oleh ALLAH SWT. Kita serahkan kepada peringkat tertinggi untuk membuat keputusan,” katanya menerusi video ringkas dikongsi di TikTok, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi Gombak Setia dan jentera-jentera Barisan Nasional- Pakatan Harapan (BN-PH) yang membantu beliau sepanjang tempoh berkempen.
“Jutaan terima kasih 32,241 pengundi-pengundi DUN Gombak Setia yang telah memberi undi kepada saya. Saya anggap undi itu bukanlah undi semata-mata tetapi itu adalah amanah dan kepercayaan yang telah kalian berikan.
“Saya telahpun memberikan yang terbaik sepanjang tempoh kempen dan cuba meyakinkan para pengundi untuk memilih dan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada rakyat Gombak Setia,namun kita terima keputusan yang telah diputuskan,” ujarnya.
PRN DUN Gombak Setia menyaksikan Muhammad Hilman Idham berjaya mempertahankan kerusi disandangnya selepas memperoleh 30,299 undi.
Muhammad Hilman yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menewaskan Megat Zulkarnain yang memperoleh 30,241 undi, manakala calon Bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali dengan 1,076 undi.