14 OGOS : Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan yang beliau akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah, hari ini.
Beliau yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri berkata, beliau akan melafaz sumpah memegang jawatan itu di Istana Anak Bukit di sini, jam 10 pagi.
“Esok (hari ini) saya akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Istana Anak Bukit 10 pagi,” katanya ketika berucap pada program Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks PAS Kedah di sini, malam tadi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, PN mendapat kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Sebelum ini, beliau adalah Menteri Besar Kedah ke-14 yang dilantik dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 17 Mei 2020 selepas mendapat sokongan majoriti ADUN ketika itu.