15 Ogos : Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering, hari ini.
Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar itu berlangsung di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah pada 3.18 petang.
Turut berangkat pada Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar dan Melafaz Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan dan Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ahmad Samsuri, 53 yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang dilantik semula ke jawatan itu selepas Perikatan Nasional (PN) memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu lalu.
Terdahulu, beliau dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada 10 Mei 2018 selepas PAS memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pada PRN 2023, Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi Dun Ru Rendang yang disandangnya sebelum ini selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman dengan memperoleh 20,927 undi dengan majoriti 17,286 undi
Ahmad Samsuri akan menerajui pentadbiran negeri setelah gabungan PAS dan Bersatu memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu pada PRN, Sabtu lalu.
Lebih dikenali sebagai Dr Sam, bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Mekanikal dari University Of Leeds, United Kingdom itu pernah menjadi antara rujukan penting dalam mengupas misteri kehilangan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan insiden nahas pesawat MH17.
Bapa kepada enam orang anak itu pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Presiden PAS yang juga bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 2008 hingga 2018.
Sepuluh ADUN yang akan menganggotai Jawatankuasa Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu turut mengangkat sumpah pada istiadat yang sama.