15 Ogos : DAP menafikan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Perpaduan menjadi faktor penolakan pengundi pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu lalu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata banyak faktor lain yang mempengaruhi pola pengundian kali ini.
“Dalam konteks di Negeri Sembilan misalnya, kerjasama ini (PH-BN) telah membuahkan kejayaan yang besar, kita menang 31 daripada 36 kerusi.
“Ini suatu kejayaan besar dan bagi kita, model kerjasama di Negeri Sembilan telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil dan majoriti yang selesa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Begitu juga di Selangor dan Pulau Pinang kita berjaya tubuh kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas mengumumkan inisiatif Tambang Percuma myBas Konsesi Bagi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di Terminal One di Seremban, hari ini, lapor BH.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pelbagai pihak bahawa kerjasama PH-BN telah mempengaruhi keputusan pengundian dan menyebabkan pengundi khususnya orang Melayu memilih Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang mempertahankan DUN Chennah berkata pihaknya menyerahkan kepada penganalisis untuk membuat analisis mengenai keputusan PRN di enam buah negeri.
“Dari segi penilaian (sokongan pengundi) itu saya serahkan kepada penganalisa, yang akan buat macam-macam analisis, terpulanglah kepada masing-masing,” katanya.
Tambhanya, fokusnya kini adalah kembali menjalankan tugas bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat kerana pemenang telah ditentukan.
“Bagi saya, akan teruskan kerja sebagai Menteri Pengangkutan bagi menambah baik sistem pengangkutan dan bawa pelbagai inisiatif kepada rakyat.
“Sekarang masanya untuk kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat, soal analisis kejayaan, kegagalan PRN dan sebagainya terpulang kepada penganalisa politik masing-masing,” katanya.