15 Ogos : Sempena sambutan Hari Kebangsaan, Kementerian Pengangkutan memperkenalkan pas ‘myBAS Konsesi’ yang menawarkan tambang percuma bagi perkhidmatan bas henti-henti.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata tawaran itu khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak serta pelajar sekolah berumur tujuh hingga 17 tahun.
Katanya, inisiatif di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) itu dikendalikan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan dilaksanakan di SBST Seremban, Ipoh dan Johor Bahru.
Katanya, lebih 2,500 pengguna golongan sasar menerima manfaat subsidi kos perjalanan itu.
“Selaras dengan konsep Ekonomi Madani, inisiatif SBST membantu menambah baik rangkaian pengangkutan awam dalam bandar, jaringan pertama dan terakhir di ketiga-tiga bandar raya terbabit selain mengurangkan kos sara hidup golongan sasar.
“Pelaksanaan tambang percuma kepada golongan sasar akan diperluaskan ke program SBST di negeri lain secara berperingkat,” katanya ketika melancarkan inisiatif tambang percuma ‘myBAS Konsesi’ dan tinjauan ke Terminal One Seremban, hari ini, lapor FMT.
Beliau berkata mereka yang berkelayakan boleh mendaftar di kaunter perkhidmatan myBAS dengan membawa dokumen pengenalan seperti MyKid, MyKad atau MyTentera dan tiada pendaftaran bagi kanak-kanak berumur enam tahun serta ke bawah.
Loke berkata perkhidmatan bas tersebut melibatkan keseluruhan 58 laluan iaitu di Seremban sebanyak 23 laluan, Johor Bahru (19) dan Ipoh (16).
Menurutnya kementerian juga akan membuka semula tender bagi pengendali myBas Konsensi berikutan kontraknya tamat pada hujung tahun ini selepas beroperasi selama tujuh tahun.
*Foto Facebook Kementerian Pengangkutan Malaysia