16 Ogos : Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka, Datuk Ab Karim Sulaiman meninggal dunia di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah, malam tadi, lapor Sinar Harian.
Allahyarham yang pernah menjawat sebagai Exco Kerja Raya dan Kemudahan Awam meninggal dunia dipercayai akibat sakit tua pada jam 9.25 malam.
Berita pemergiannya itu turut dikongsikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
“Salam takziah buat ahli keluarga di atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarham Datuk Ab Karim Sulaiman, malam ini (Selasa). Saya berkesempatan menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Kampung Pulau, Masjid Tanah.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Allahyarham yang mesra dipanggil ‘Kapten Karim’ memulakan karier sebagai wakil rakyat selepas dipilih sebagai ADUN Kawasan Sungai Udang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10, sebelum menjadi ADUN Tanjung Bidara selama dua penggal bermula 2004 hingga 2013.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Fatimah Md Nor dan empat orang anak.