16 Ogos : Kontrak Pestech Technology Sdn Bhd (PTSB) untuk mengganti aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditamatkan susulan masalah prestasinya.
Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu.
“Keputusan ini diambil oleh Lembaga Pengarah MAHB dengan mematuhi prinsip tadbir urus MAHB dan berdasarkan pemantauan rapi pembangunan progresif projek APM oleh pengurusan MAHB dan perunding bebasnya.
“PTSB didapati melanggar kewajipannya di bawah kontrak dan gagal membetulkan perkara yang sama dalam tempoh masa yang ditetapkan,” kata MAHB.
Penamatan kontrak itu antara lain berikutan PTSB yang kurang berprestasi, menjejaskan pencapaian penting projek dan risiko kelewatan untuk menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan.
PTSB sebelum ini diberi tanggungjawab untuk mereka bentuk, membekal, memasang, menguji dan mentauliah Penggerak Penumpang Automatik (APM) di KLIA.
PTSB dilantik oleh MA Sepang sebagai kontraktor reka dan bina (D&B) untuk Program Penggantian Aerotrain KLIA pada 14 Disember 2021 melalui proses tender terbuka.
Berikutan Notis Penamatan yang didahului Notis Lalai kepada PTSB, MA Sepang dibolehkan untuk memulakan semula dan menyiapkan kerja-kerja berkenaan melalui pembabitan pihak lain yang berkaitan dengan tumpuan untuk memastikan projek disiapkan mengikut jadual.
Berkuat kuasa serta merta, MA Sepang akan mempercepatkan perundingan dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan sedia ada yang kini terbabit dalam Projek APM untuk kesinambungan dan untuk mengurangkan sebarang kelewatan.
Ia termasuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan yang terbabit dalam projek penggantian landasan dan sistem kereta api, serta mengenal pasti kontraktor pihak ketiga yang berpengalaman dan boleh dipercayai untuk memastikan kemajuan yang konsisten bagi semua komponen projek.
“Projek ini amat penting untuk memastikan keselesaan dan kemudahan penumpang kami yang melalui KLIA.
“Fokus kami menuju ke depan adalah pada penyampaian aerotrain tepat pada masanya sambil memerhatikan kawalan kualiti yang ketat dan piawaian keselamatan projek, tanpa kompromi terhadap operasi dan proses tadbir urus kami,” kata Pengarah Urusan MAHB, Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood.