Amirudin menghadap Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan
17 Ogos : Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, petang ini.
Amirudin menaiki kereta rasmi Menteri Besar jenis Toyota Camry dengan diiringi pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia tiba di istana berkenaan kira-kira jam 2.34 petang.
Bagaimanapun, tujuan utama beliau menghadap baginda masih belum dapat dipastikan namun dipercayai bagi menyembah maklum nama calon Menteri Besar Selangor.
Memetik sumber Sinar Harian, pengamal media mula berkumpul di pekarangan Istana Bukit Kayangan seawal jam 2 petang untuk mengikuti perkembangan lanjut hasil pertemuan Ahli Parlimen Gombak tersebut dengan Sultan Selangor.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu dilaporkan akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk kali kedua bagi penggal ke-15 di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada Sabtu ini.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mengumumkan Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) menang di negeri itu dalam pilihan raya negeri (PRN) yang berakhir Sabtu lalu.
Bagaimanapun, terdapat khabar angin mengatakan Amirudin akan diangkat sebagai menteri di peringkat Persekutuan dan tempatnya diganti calon muka baharu yang juga dari PKR.
Antara nama yang disebut-sebut adalah Dr Fahmi Ngah, calon PKR yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.
Dalam PRN Selangor 12 Ogos lalu, gabungan PH-BN mempertahankan negeri itu apabila memenangi 29 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) menang 22 kerusi.