17 Ogos : Sejumlah gereja dibakar dan sebilangan rumah penduduk Kristian dirosakkan dalam rusuhan yang tercetus di timur Pakistan semalam selepas segelintir penganut agama itu dituduh menghina Islam dan al-Quran.
Ratusan penunjuk perasaan turun ke kawasan majoriti Kristian di pinggir bandar Faisalabad, susulan tersebar dakwaan bahawa kitab suci al-Quran telah dicemari.
“Kumpulan perusuh terbabit mengakibatkan kerosakan teruk di kawasan itu termasuk terhadap sebilangan kediaman penduduk Kristian dan banyak gereja,” kata pegawai kerajaan daerah berkenaan, Ahad Noor, lapor AFP.
Pegawai penyelamat dan polis memaklumkan sekurang-kurang empat gereja dibakar manakala penduduk mendakwa banyak bangunan berstatus gereja dirosakkan.
Ribuan polis dikerahkan ke kawasan berkenaan dan puluhan orang telah ditahan, kata Menteri Penerangan wilayah Punjab, Amir Mir dalam satu kenyataan yang turut mengutuk tindakan menghina Islam sebagaimana didakwa.
Rakaman imej dikongsikan dalam media sosial menunjukkan penunjuk perasaan membanjiri jalanan dengan membawa kayu dan batu selain asap dilihat berkepul dari bangunan gereja.
Satu rakaman video pula memaparkan kumpulan penunjuk perasaan melaungkan tuntutan supaya individu dituduh melakukan perbuatan menghina Islam itu dikenakan hukuman.
Perkongsian dalam media sosial turut menunjukkan sebilangan ulama tempatan menggesa supaya semua umat Islam bersatu dan membantah tindakan biadab mencemarkan kitab suci al-Quran.
Menurut satu laporan polis, pertuduhan akan dikenakan ke atas dua lelaki Kristian yang dilapor melarikan diri dari kawasan berkenaan.