17 Ogos : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawainya yang terlibat aktiviti politik.
Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata Jawatankuasa Tatatertib Jakim sudah diarahkan untuk bertindak segera berkait dakwaan yang tular di media sosial itu.
“Tindakan ini diambil berpandukan kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Jabatan ini tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib terhadap pegawai yang didapati melanggar sebarang peraturan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Kenyataan itu dipercayai merujuk penglibatan seorang pegawai kanan jabatan itu dalam aktiviti sebuah parti politik termasuk memuat naik hantaran bersifat ekstremis agama.
Menurut Hakimah, kesemua warga Jakim dinasihatkan sentiasa mematuhi semua peraturan yang berkuatkuasa dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan integriti serta imej perkhidmatan awam.