18 Ogos : Ekonomi MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bakal menjadi teraju utama penstrukturan semula secara menyeluruh ekonomi negara untuk tempoh jangka masa panjang.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata ia akan membolehkan Malaysia mencapai ekonomi berdaya tahan iklim dan lebih hijau serta penambahbaikan tadbir urus fiskal.
“Rangka kerja Ekonomi MADANI akan menjadi teraju utama penyusunan semula ekonomi negara dan mencapai sasaran.
“Dalam rangka kerja ini, ekonomi Malaysia akan melihat transformasi pelbagai perkara utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.
Abdul Rasheed berkata Ekonomi MADANI itu juga akan membawa kepada ketelusan yang kemudiannya mampu meningkatkan keyakinan daripada pelabur dan penarafan agensi kredit.
Selain itu katanya, Ekonomi MADANI juga akan membantu mengukuhkan pasaran buruh negara yang terus bertambah baik pada suku kedua tahun ini dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.4 peratus pada Jun 2023 didorong pertumbuhan guna tenaga yang stabil.
Katanya, segmen yang terdedah seperti wanita dan belia juga pulih ke tahap sebelum pandemik Covid-19 namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan seperti penyertaan dalam kalangan buruh wanita masih rendah.
“Penyertaan lebih besar peratusan buruh wanita ini juga salah satu daripada bidang tumpuan rangka kerja ekonomi MADANI,” katanya.