18 Ogos: Wakil rakyat digesa berhenti bermain politik dan menumpukan permasalahan rakyat khususnya kaum India di negara ini yang masih dibelenggu isu kemiskinan, pendidikan dan sosio ekonomi.
Presiden Pertubuhan Perpaduan Puratchi, Dr Saravana Kumar berkata sikap segelintir pemimpin yang mementingkan diri sendiri memberi kesan kepada rakyat malah isu-isu utama rakyat tidak mendapat perhatian sewajarnya.
“Kita perlu sedar hakikatnya rakyat masih lagi berterusan dihimpit dengan pelbagai isu ‘pandemik’ dalam mengharungi kehidupan seharian.
“Banyak permasalahan rakyat yang belum diselesaikan khususnya kaum India yang masih lagi dibelenggu kemiskinan. Jika asyik berpolitik, tukar pemimpin atau kerajaan bagaimana isu-isu kami akan diselesaikan? Cukup-cukuplah berpolitik,” katanya.
Saravana berkata demikian pada Sidang Media Khas 20 NGO India Berikrar Menyokong Penuh Kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia Bersama-sama Menerajui Pimpinan Kerajaan Madani di ibu kota, hari ini.
Seramai 20 orang wakil badan bukan kerajaan (NGO) dengan anggaran 5,000 ahli dalam kalangan masyarakat India menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Ahmad Zahid untuk terus memegang semua jawatan beliau.
Mereka menyatakan sokongan tersebut selepas segelintir pihak menyeru Ahmad Zahid berundur sebagai Presiden Barisan Nasional (BN) kerana didakwa telah menunjukkan prestasi yang tidak cemerlang dan mengakibatkan BN tidak mendapat sokongan pengundi pada pilihan raya negeri (PRN), baru-baru ini.
Dalam pada itu, Saravana turut mengakui gabungan PH-BN merupakan berita baik buat masyarakat India di Malaysia kerana kepimpinan yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid itu cakna dan faham isu-isu masyarakat India serta sentiasa memastikan komuniti itu disantuni sewajarnya.
Menurutnya, tidak wajar jika ada segelintir pihak yang masih menggunakan isu perkauman sebagai modal berpolitik sehingga membawa kepada perpecahan dan ketidakstabilan politik di negara ini.
“Selama sembilan bulan, begitu banyak yang telah dilakukan olehnya (Kerajaan Perpaduan) dan kami pasti ada banyak lagi perancangan mereka untuk memastikan masalah kemiskinan, isu pendidikan dan ekonomi dapat dibasmi.
“Kerajaan Perpaduan prihatin dalam memajukan masyarakat kami (India). Tidak wajar langsung ketika ini ada pula pihak-pihak cuba memecah belahkan dan cuba mempolitikkan masalah rakyat namun tiada usaha untuk menanganinya,” katanya.
Justeru, Saravana berharap Kerajaan Perpaduan dikekalkan supaya suara kaum India di negara ini didengari di pihak atasan serta percaya gabungan PH-BN mampu membawa pembaharuan kepada komuniti itu. Oleh: Aisyah Badrul