18 Ogos : Kotak perakam suara kokpit (CVR) daripada pesawat ringan yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam ditemui Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) jam 10.20 malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata CVR itu kemudian dibawa BSKU ke makmal untuk tindakan lanjut.
“CVR ini adalah sebahagian daripada komponen kotak hitam dan ia ditemui pada jam 10.20 malam tadi, manakala satu lagi komponen iaitu perakam data penerbangan (FDR) masih belum ditemui.
“Pencarian dan pemprosesan bagi fasa pertama sudah selesai pada jam 10.30 malam tadi yang mana kita jumpa 10 mayat dan lima lagi bungkusan cebisan badan yang terpisah.
“Semua mayat dan cebisan itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat dan pengecaman,” katanya pada sidang media di Shah Alam, malam tadi.
Menurutnya, proses bedah siasat dijangka selesai tengah hari esok dan sementara itu proses pencarian fasa kedua diteruskan untuk mencari jika masih ada cebisan mayat yang tertinggal.
“Pada masa ini operasi mencari semua mayat selesai dijalankan cnamun akan bersambung sekiranya masih ada anggota tubuh badan atau cebisan mayat yang hilang,” katanya.
Dalam insiden pada jam 2.50 petang semalam, 10 lelaki disahkan maut selepas pesawat ringan terhempas di persiaran bandar Elmina, berdekatan Lebuhraya Gutrie dekat sini.
Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.
Dalam tragedi itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan berada dalam pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) itu.
Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada jam 2.50 petang dan terhempas dua minit sebelum mendarat.