18 Ogos : Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri M Ramasamy agar petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat dikembalikan kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk satu perbicaraan penuh.
Hari ini, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 3 April lalu yang menolak petisyen rayuan Ramasamy selepas menerima bantahan awal responden.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan memerintahkan petisyen itu didengar di hadapan hakim lain.
Responden yang dinamakan dalam petisyen itu ialah Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Dalam keputusannya, Zabariah berkata petisyen itu dikembalikan kepada Mahkamah Pilihan Raya untuk mendengar isu berkenaan sama ada bahan kempen melanggar undang-undang pilihan raya dan dakwaan berlakunya sogokan.
Zabariah kemudiannya menetapkan 24 Ogos ini untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Pilihan Raya.
Dalam petisyen tersebut, antara lain Ramasamy memohon pengisytiharan pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat terbatal.