Nahas pesawat : Panggilan terakhir Khairil Azwan untuk isteri
18 Ogos : Sebelum penerbangan yang mengorbankan nyawanya, salah seorang penumpang, Khairil Azwan Jamaluddin, 43 sempat membuat panggilan terakhir kepada isterinya, jam 1.40 tengah hari, semalam.
Nizatul Akmar Mohd Nasir, 43 berkata suaminya itu sangat teruja dengan penerbangan kali ini.
Katanya, Allahyarham memberitahu penerbangannya pada jam 2 petang dan dijangka tiba kira-kira jam 4 petang selain memintanya menjaga diri.
“Suami sangat teruja dengan penerbangan kali ini. Selalunya jika dia bersama Datuk Seri Johari Harun, dia akan mengendalikan helikopter selaku juruterbang peribadinya, tetapi kali ini dia sebagai penumpang.
“Tak sangka itu adalah panggilan terakhirnya,” katanya ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), malam tadi.
Khairil Azwan merupakan bekas pegawai di Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meninggalkan tiga anak lelaki berusia antara 10 hingga 14 tahun.
Menurut Nizatul Akmar, pada awalnya dia tidak mahu mempercayai bahawa pesawat dinaiki suaminya itu terhempas seperti dilaporkan.
Dia kemudiannya cuba menghubungi individu yang menaiki penerbangan bersama suaminya tetapi gagal sebelum akhirnya dia menghubungi isteri Johari Harun, Datin Seri Maziah Samsudin yang memberitahu pesawat dinaiki suami mereka terbabit dalam nahas tersebut.
Menurut Nizatul Akmar, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halaman, Kampung Mempaga, Bentong, Pahang seperti hasrat suaminya itu ketika hayat.
“Dia ada pesan supaya dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Mempaga, Bentong, Pahang jika meninggal dunia kerana mahu saya dan anak-anak pulang ke kampung menziarah dan melawat keluarga.
“Saya akan penuhi hasrat dia dan sudah tentu keluarga pun mahu begitu juga,” katanya.
Dalam pada itu, adiknya, Khairul Azman, 40 berkata abangnya yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik itu menetap di Seremban serta berkhidmat sebagai juruterbang kepada Johari sejak beberapa tahun lalu.
Selain Khairil Azwan, Johari yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang juga antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie dekat Elmina, Shah Alam, petang semalam.