Pesawat terhempas tiada perakam data penerbangan
18 Ogos : Pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Lebuhraya Guthrie, Shah Alam petang semalam tidak memiliki perakam data penerbangan (aircraft data recorder) seperti pesawat komersial.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid berkata hasil dapatan Biro Kemalangan Udara (BSKU) turut mengesahkan pesawat berkenaan hanya mempunyai satu komponen kotak hitam iaitu rakaman suara kokpit (CVR).
“Jadi pesawat ini hanya ada satu kotak hitam jenis CVR dan ianya sudah ditemui semalam, bukan dua seperti yang kita jangka sebelum ini.
“Pesawat sebegini memang tidak ada bahan (Perakam Data Penerbangan) itu yang kita cuba cari sejak semalam. Jadi ia sudah diambil (CVR) untuk membantu siasatan lewat malam tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini pencarian kotak hitam pesawat itu.
Semalam sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park.
Polis mengesahkan 10 maut dalam kejadian itu semua termasuk dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan melalui kawasan tersebut.