19 Ogos : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada Adlina Aisyah Ahmad Rusli, balu salah seorang mangsa nahas pesawat di Bandar Elmina, Khamis lalu.
Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali antara yang dilaporkan terkorban dalam nahas tersebut.
Menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini, sumbangan itu diserahkan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendi Zairakithnaini dalam kunjungan ke kediaman Adlina, semalam.
Adlina, 41, pernah bertugas sebagai Pegawai Pentadbir (Sumber Manusia) di Istana Negara dari 2011 hingga 2015.
Azuan Effendi turut menyampaikan ucapan takziah Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kepada Adlina dan keluarga atas pemergian mengejut suaminya.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berdukacita dan menzahirkan harapan agar Adlina Aisyah dan keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” kata kenyataan itu.
Idris merupakan pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa namun bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Dalam insiden pada Khamis lepas, 10 individu termasuk Johari maut apabila pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam.
Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.
Pesawat itu yang berlepas dari Langkawi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.50 petang, namun terhempas dua minit sebelum mendarat.