19 Ogos : Kerajaan menyampaikan sumbangan kewangan sebanyak RM10,000 kepada keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32 yang maut dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie, Khamis lalu.
Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata pihaknya juga bersedia membantu sebarang urusan keluarga Allahyarham di Kuala Lumpur dan perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada bapa mangsa, Muhamad Salleh Othman, 57.
“Kalau ahli keluarga nak ambil barang-barang arwah di Kuala Lumpur atau perlukan apa-apa bantuan, boleh hubungi saya atau mana-mana wakil kerajaan.
“Hari ini, saya hadir mewakili Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk ziarah dan menyerahkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian di Kampung Jerung di Sungai Petani, hari ini.
Terdahulu, jenazah penghantar makanan itu merupakan mangsa pertama dikenalpasti identiti melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Kira-kira 1,000 penduduk, kenalan dan saudara mara serta masyarakat setempat memenuhi Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Huda di kampung itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun selain Muhamad Hafiz yang kebetulan melalui laluan itu ketika kejadian.