19 Ogos: Sebuah sistem saraan baharu buat penjawat awam diperlukan bagi membantu mereka berdepan peningkatan kos sara hidup, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat.
Beliau menyifatkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagaikan kerangka ‘rumah lama’ yang sudah tidak sesuai kerana sudah dilaksanakan sejak 2002.
Jelas Adnan, kos sara hidup masa kini, struktur jabatan serta skop kerja yang telah berubah dan tahap kelayakan bagi memasuki suatu skim perkhidmatan antara faktor yang perlu diteliti dalam sistem baharu itu.
Bagaimanapun, Adnan berkata Cuepacs memahami kerajaan memerlukan masa untuk memuktamadkan suatu sistem saraan baharu yang bersesuaian.
“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana prihatin dengan permohonan kami antaranya dengan kenaikan gaji penjawat awam menjelang pembentangan Belanjawan negara pada Oktober akan datang. Kami zahirkan rasa terima kasih ini dengan produktiviti, kualiti dan integriti dalam kerja.
“Namun, kita mahukan sistem saraan baharu menggantikan SSM tetapi jika kerajaan tidak mampu pada masa ini kita mohon kerajaan berikan kenaikan seperti imbuhan tetap lebih awal,” katanya selepas Perhimpunan Penjawat Awam Sempena Program Merdeka MADANI Cuepacs, semalam.
Pada 11 Ogos lepas, Anwar dilaporkan berkata kerajaan berusaha untuk menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini.
Kata Anwar, ia sebagai langkah sementara sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan, dijangka tahun depan.