20 OGOS : Enam kilang pembuatan perabot di Kampung Baru Sungai Buloh musnah dalam kebakaran hari ini.
Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima laporan tersebut pada jam 4.48 petang tadi.
Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, 11 jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Selayang, Damansara serta Rawang dikejarkan ke lokasi.
“Jentera pertama tiba pada jam 5 petang. Kebakaran membabitkan enam premis kilang pembuatan perabot.
“Kerja pemadaman sedang dijalankan pasukan bomba,” katanya sambil memaklumkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan, setakat ini, dalam satu kenyataan.
Beberapa gambar dan rakaman video menunjukkan asap tebal dalam kejadian itu yang dikongsikan orang awam berada berhampiran lokasi, turut tular dalam media sosial.