20 OGOS : Keputusan membuka semula kedutaan besar di Iraq kini dalam proses akhir perbincangan di peringkat Kementerian Luar.
Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, ia termasuklah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Iraq dan juga timbalannya berhubung beberapa aspek berkaitan logistik.
Katanya, dalam pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Iraq di Azerbaijan awal Julai lepas, pemimpin itu telah meminta Malaysia supaya segera membuka kedutaan di Iraq.
“Saya telah maklumkan perkara ini kepada kabinet dan ia telah mendapat persetujuan, serta diluluskan (pembukaan kedutaan) dua bulan lepas, dan diharapkan proses akhir perbincangan itu nanti akan memeterai pembukaan kedutaan kita di sana,” katanya
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Khidmat Bakti Bersama Komuniti Pulau Pangkor, semalam.
Zambry dalam masa yang sama turut berkata, pembukaan kedutaan itu penting dalam memaminkan peranan bukan hanya dalam mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara malah memberi nilai tambah daripada sudut ekonomi khususnya sektor pelaburan.
“Kita harapkan agar hubungan ini akan memberi impak yang positif. Jadi, seperti yang kita sedia maklum Petronas mempunyai kepentingan besar di Iraq dan selain itu juga saya yakin ada bidang-bidang lain yang boleh diteroka di sana,” katanya.
Sementara itu Zambry berkata kerajaan juga akan menimbang pembukaan semula kedutaan besar di beberapa negara termasuk di benua Afrika yang sebelum ini menghadapi konflik peperangan sepertimana di Iraq.
Bagaimanapun menurutnya perkara itu perlu diperhalusi, selain mengambil kira pelbagai faktor terutama membabitkan soal keselamatan dan kepentingan negara.
“Kita perlu ambil kira semua faktor sebelum pembukaan ini dibuat kerana kita tidak mahu perkara-perkara tidak diingini atau di luar jangkauan berlaku dan memberi impak negatif kepada negara,” katanya.
Pada 26 Mac lepas, Zambry menjelaskan kerajaan melalui Kementerian Luar sedang meneliti cadangan membuka semula Kedutaan Besar Malaysia di beberapa buah negara yang sebelum ini bergolak.