21 Ogos: 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, hari ini.
Barisan Exco baharu itu mengekalkan tiga muka lama iaitu ADUN Kinrara, Ng Sze Han (DAP), Datuk Izham Hashim (Amanah-Pandan Indah) dan Borhan Aman Shah (PKR-Tanjong Sepat).
Sementara tujuh muka baharu dilantik termasuk ADUN tunggal dari BN, Datuk Rizam Ismail (Sungai Air Tawar), bekas Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan), Najwan Halimi (PKR-Kota Anggerik) dan Dr Mohammad Fahmi Ngah (PKR-Seri Setia).
Selain itu, turut mengangkat sumpah adalah Jamaliah Jamaluddin (DAP-Bandar Utama), V Papparaidu (DAP-Banting) dan Anfaal Saari (Amanah-Taman Templer).
Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah bagi jawatan Exco Selangor dilakukan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah Klang bermula jam 2 petang, hari ini.
Majlis istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji turut disaksikan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dan pembesar-pembesar negeri.
Terdahulu, ADUN Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua dan Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah pagi tadi.
Amirudin juga dilaporkan bakal mengumumkan portfolio 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor selepas Mesyuarat Exco pertama Rabu ini.
Beliau turut dilaporkan sebelum ini berkata portfolio setiap Exco hanya akan dimaklumkan Rabu ini selepas mesyuarat Exco pertama. OLEH AISYAH BADRUL