21 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan dasar tindakan afirmatif harus dilanjutkan daripada berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan.
Perdana Menteri itu berkata jika dasar tersebut dilihat terlalu menumpukan kepada kaum, ia akan menimbulkan kemarahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
“Ini bukannya isu untuk memansuhkan (hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera). Hal ini adalah isu yang menumpukan kepada bidang yang penting untuk mereka. Kami tidak boleh bercakap mengenai meritokrasi tulen antara pedalaman Sarawak kepada sekolah-sekolah utama di Kuala Lumpur.
“Saya fikir hujah sama diguna pakai (kepada dasar tindakan afirmatif). Jika anda tumpukan kepada isu keperluan, keadilan dan kesaksamaan maka kami boleh meneruskan dengan dasar tindakan afirmatif ini,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The CNBC Conversation pada Jumaat lepas (18 Ogos).
Dalam pada itu, Anwar turut menyelar Dasar Ekonomi Baharu yang diperkenalkan kerajaan terdahulu kerana dasar tersebut digunakan oleh pentadbiran sebelum ini untuk memberi kekayaan kepada anak-anak dan keluarga mereka.
Jelas Anwar, amalan tersebut perlu dinoktahkan dan dasar tersebut perlu menfokuskan kepada perkara yang sewajarnya.
“Sebagai contoh, dasar ini perlu diteruskan untuk menghasilkan usahawan baharu…menyediakan pendidikan berkualiti bagi mereka yang tidak berkemampuan.
“Pada pandangan saya, jika kita lebih menfokuskan perkara ini, ianya merupakan suatu yang sangat munasabah dan mustahak,” katanya.