21 Ogos: Cukup-cukuplah membawa agenda politik yang boleh mengakibatkan perpecahan rakyat, kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Akmal berkata demikian bagi membidas kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari yang dilaporkan berkata empat negeri di bawah pemerintahan gabungan itu mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza.
Menurut Akmal, sebagai orang muda, Ahmad Fadhli seharusnya membawa idea yang baik bukan sebaliknya.
“Cukup-cukuplah membawa kepada politik perpecahan. Pilihan raya dah selesai, ini masa rakyat Malaysia bersatu hati, politikus jangan tak habis-habis bawa agenda perpecahan.
“Orang muda bawalah idea yang lebih baik, bukan lebih teruk,” bidasnya menerusi hantaran Facebook, semalam.
Tegas Akmal, PN juga harus sedar bahawa Malaysia keseluruhannya mempunyai 14 negeri dan bukan ada empat negeri sahaja.
“Jika alasan (mereka untuk buat perkara ini dengan cakap) kerajaan Selangor dulu boleh buat, takkan kami tak boleh buat. Jawapan saya adalah kalau ada orang buat benda tak betul, takkan kita nak ikut sekali buat benda yang kita rasa tak betul,”katanya.
Sebelum ini, Ahmad Fadhli dilaporkan berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti PN berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif bersempena Hari Kebangsaan yang dilancarkan Pemuda PN pada 19 Ogos lalu.
Logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.