21 Ogos : Kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang terhempas di Lebuhraya Guthrie Khamis lalu ditemukan dalam keadaan rosak teruk apabila dibuka pada Sabtu.
Namun Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata kad memorinya (memory puck) masih dalam keadaan baik ketika dibuka Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).
Beliau memaklumkan komponen tersebut dihantar ke makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura semalam untuk dianalisis bagi mendapatkan rakaman 30 minit terakhir sebelum terhempas.
Ini kerana katanya, negara jiran itu memiliki kepakaran muntuk mengesan data dalam kad memori tersebut.
“Pada hari Sabtu, peralatan tersebut telah dibuka untuk mendapat ‘memory puck’ tersebut dan didapati masih dalam keadaan yang baik.
“Oleh sebab kita tidak ada peralatan untuk kesan data rakam tersebut jadi ‘memory puck’ itu perlu dihantar ke Singapura pada Ahad (semalam),” katanya kepada pemberita Majlis Semarak Merdeka, hari ini.
Menurutnya, Ketua Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Brigedier Jeneral Tan Chee Kee turut berada di sana bagi tujuan tersebut.
Loke berkata, pihaknya tidak dapat memastikan tempoh yang diperlukan untuk mendapatkan data tersebut namun katanya satu laporan awal siasatan akan dikeluarkan dalam tempoh tidak melebihi sebulan.
“Ia akan dibantu oleh beberapa pihak termasuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara Amerika Syarikat (NTSB) kerana pendaftaran pesawat berkenaan dilakukan di AS.
“Jadi mengikut Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13), pengeluar pesawat itu perlu terbabit dalam membantu siasatan,” katanya.
Beliau berharap semua pihak memberi sedikit masa kepada pakar-pakar berkenaan untuk mendapatkan data tersebut.
“Pakar-pakar kita juga sedang melihat beberapa pilihan lain untuk mendapatkannya,” katanya.
Khamis lalu, pesawat ringan yang dalam penerbangan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah terhempas sebelum mendarat hingga mengorbankan 10 nyawa.