22 Ogos : Kerajaan masih belum membuat keputusan soal menaikkan gaji untuk kira-kira 1.3 juta penjawat awam.
Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu masih dalam perbincangan sebelum dibentangkan pada Belanjawan 2024, Oktober ini.
Pada masa sama, Ahmad Maslan berkata kerajaan juga memperincikan kenaikan kos pembayaran pencen kepada bekas anggota tentera tidak berpencen.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) amat prihatin kepada penjawat awam termasuklah bekas tentera yang dah lama memohon untuk kenaikan (pencen).
“Perkara itu sedang dibincangkan dan belum ada keputusan,” katanya selepas mengadakan dialog pada siri Jelajah Belanjawan 2024 di Auditorium Seri Negeri, di Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Anwar sebelum ini mengumumkan kerajaan berusaha menaikkan sedikit gaji penjawat awam menerusi Belanjawan MADANI kedua yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober ini.
Beliau dilaporkan berkata, ia sebagai langkah sementara sehingga kajian menyeluruh berhubung skim gaji dan persaraan penjawat awam selesai dilakukan yang dijangka pada tahun depan.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) giat melaksanakan Program Jelajah Belanjawan 2024 peringkat negeri sebagai persiapan bagi penyediaan pembentangan belanjawan negara tahun ini.
Selain program jelajah peringkat negeri, MOF juga menganjurkan beberapa siri perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan seperti penjawat awam, swasta, teknokrat, badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan rakyat bagi memastikan penyediaan belanjawan menyeluruh serta memenuhi hasrat segenap lapisan masyarakat.